Sunday, February 6, 2011

SESUDAH CUTI TAHUN BARU CINA

Alhamdulillah...selamat ketemu kembali di blog ini. Setelah seminggu bercuti di Tahun Baru Cina, maka bermula lagi episod sebagai GURU. Syukur...meskipun hampir 17 tahun bergelar PENDIDIK, semangat sebagai guru di jiwa saya masih lagi KUKUH & TEGUH. Walaupun mengajar dikelilingi perkampungan kaum Iban yang bukan 1 agama dan 1 bangsa, Alhamdulillah semangat juang sebagai PENDIDIK di jiwa saya tidak membataskan saya untuk mencurah ilmu kepada anak-anak didik yang saya kasihi. Bergelar PENDIDIK 17 tahun yang lampau menempatkan saya di SK SG. BAWANG, MUKAH yang pada ketika itu masih lagi dibawah teraju Pejabat Pelajaran Daerah Sibu. Seterusnya jasa bakti terus saya curahkan untuk anak-anak Iban apabila diarahkan bertukar ke SK IBAN UNION iaitu 45 minit dari sekolah pertama. Sekolah ke 2 ini hanya dapat dihubungi dengan jalan air. Berkhidmat selama 2 tahun di sekolah ini, seterusnya pada awal tahun 1997 saya berkhidmat pula di SK ABANG ALI, SIBU selama 10 tahun iaitu sehingga penghujung 2006.

12 tahun berkhidmat sebagai PENDIDIK di bandar Sibu, saya berhijrah pula ke SK RENTAP, di luar bandar Sarikei. Dikelilingi perkampungan Iban yang ramah dan sentiasa bekerjasama dengan pihak guru demi kebaikan anak-anak mereka, selama 4 tahun berkhidmat di sini, saya benar-benar telah jatuh hati pada sekolahnya dan juga anak-anak didik saya. Dek kerana permasalahan peribadi saya kembali semula ke kampung halaman iaitu di Sibu dan akhirnya diarahkan bertugas di SEKOLAH KEBANGSAAN ULU SUNGAI SIONG, SIBU iaitu 40 minit memandu dari kampung saya. Mungkin rezeki saya yang telah ALLAH tetapkan dan mungkin juga ada hikmah di sebaliknya, saya kembali mengajar di kawasan perkampungan Iban meskipun sekolah ini bukanlah sekolah pilihan saya. Syukur Alhamdulillah, seperti yang saya nyatakan di awal-awal tadi, semangat juang sebagai PENDIDIK tidak membataskan KEIKHLASAN saya untuk terus menabur bakti untuk anak-anak didik yang tercinta meskipun mereka bukanlah 1 AGAMA @ 1 BANGSA...

Ya ALLAH, syukur padaMU kerana masih mengekalkan dan malah meneguhkan semangatku untuk terus berbakti di bumi tercinta tanpa memandang pada agama & bangsa...Terima kasih Ya ALLAH kerana memberiku ruang & peluang untuk bergelar seorang PENDIDIK...

Selamat kembali ke sekolah untuk rakan-rakan guru & juga kakitangan bukan akademik di SK Ulu Sungai Siong...

Tuesday, January 18, 2011

Selasa, 18 Januari 2011

Alhamdulillah...keadaan jalan pada hari ini agak baik setelah dibuat penambahbaikan walaupun sekadar meletakkan batu-batu di permukaan jalan yang becak dan licin tapi sudah cukup untuk melegakan hati kami warga pendidik di SK Ulu Sg. Siong kerana pemanduan kami akhirnya selamat sampai di pintu masuk sekolah. Syukur sangat-sangat. Sehingga ke tengahari ini tadi, cuaca agak elok dan cerah sehinggalah pemanduan kami sampai di Pasar Teku di mana hujan telah mula turun. Harapan kami warga pendidik semoga jalan tidak rosak lagi walaupun tanda-tanda hujan akan berterusan agak ketara.

Minggu ini ialah minggu ke 3 Program Transisi Sekolah dan majlis perasmian penutupan akan berlangsung pada hari Jumaat ini iaitu pada 21 Januari 2011. Untuk anak-anak didik di Tahun 1 iaitu adik Ruben Sigat dan adik Norman Silang, semoga tabah menimba ilmu yang dicurahkan. Jangan amalkan sikap malas dan rajin-rajinlah membuat kerja sekolah yang diberi oleh guru. Sementara sekolah gantian akan dilaksanakan pada hari Sabtu, 22 Januari 2011 bagi menggantikan hari persekolahan pada minggu Tahun Baru Cina.

SK ULU SUNGAI SIONG, SIBU

Sekolah Kebangsaan Ulu Sg. Siong, Sibu merupakan sebuah sekolah yang terletak di luar bandar Sibu. Diketuai oleh seorang Guru Besar yang berkarisma iaitu Encik William Anyang yang berketurunan Orang Ulu. Turut dibantu oleh 3 orang Penolong Kanan Lantikan Dalaman iaitu Encik Edwin @ Ujang ak Sibau menyandang jawatan sebagai Penolong Kanan Akademik, Cik Penny Apang sebagai Penolong Kanan HEM dan Encik Arfian Abdul Rasid selaku Penolong Kanan KK. Tidak ketinggalan para guru iaitu Cik Syukriah bt Mohd Salleh, Puan Henny Irawaty bt Ibrahim, Cik Aini Morsidi, Encik Roland Robert, Encik Jeffery Wahid, Cik Safinah bt Ali, Puan Hartini Kassim dan Cik Keristina Enchau serta staff sokongan yang dedikasi iaitu Cik Esther dan Cik Catherine.
Perjalanan mengambil masa sejam dari pusat bandar iaitu melalui jalan berturap dan seterusnya jalan berbatu untuk sampai ke sekolah. Antara sekolah-sekolah yang akan dilalui ialah SK Sg. Passai dan SK Sg. Siong Tengah. Walau bagaimanapun perjalanan dari simpang jalan utama untuk ke sekolah pada hari Isnin, 17 Januari 2011 adalah agak mengecewakan kerana warga pendidik serta warga pelajar terpaksa melalui laluan berbatu dan di sesetengah tempat pula hanya bertanah merah yang adakalanya menjadi becak serta licin pada musim tengkujuh seperti sekarang. Walau bagamanapun halangan yang terpaksa ditempuhi, warga pendidik di SK Ulu Sg. Siong tetap tabah dan ikhlas menggalas amanah mendidik anak bangsa di pedalaman ini. Berbekalkan harapan untuk membawa perubahan kepada warga pelajarnya agar sentiasa bersemangat dan bersedia menimba ilmu pengetahuan sebagaimana bersemangatnya warga pendidik meredah kesukaran di SK Ulu Sg. Siong.